ANTARA PRODUK KAMI

Tuesday, March 16, 2010

Sains kehidupan


Pengenalan
Beberapa buah negara telah bergabung dan memberi sumbangan khidmat pengetahuan mereka di Stesen Angkasa Antarabangsa (International Space Station - ISS) untuk mengendali beberapa jenis kajian demi kebaikan masa hadapan manusia sejagat.

Kini, setiap negara berada dalam fasa pembinaan sistem-sistem eksperimen yang berlainan. Sistem Pengempar kini sedang dalam proses pembinaan di ISS, dan sistem ini merupakan salah satu Teras dalam Sains Kehidupan

Manusia di Angkasa

Terdapat beberapa senarai yang boleh dirujuk tentang sebab-sebab perlunya penerbangan angkasa bagi manusia. Persatuan Angkasa Kebangsaan mempunyai senarai terperinci, dan SPACE.com menyatakan tentang  Top 3 dan Top 10. Namun demikian, masih ada keperluan untuk suatu senarai padat yang mudah dirujuk - contohnya seperti berikut:
Manusia berada di angkasa:

- Untuk Bekerja
- Untuk Hdup
- Untuk Terus Hidup
Untuk Bekerja
Suatu hujah yang  biasa diutarakan bagi menentang idea untuk meletakkan manusia di angkasa ialah bahawa robot lebih sesuai. Pandangan ini hanya separuh benar. Robot lebih sesuai berbanding manusia untuk tugasan tertentu, namun manusia lebih baik daripada robot bagi tugasan tertentu yang lain. Sifat tugasan menentukan sama ada manusia atau robot digunakan. Persekitaran Zuhrah yang sangat tidak mengundang manusia mungkin lebih sesuai bagi robot; suatu pembinaan atau tugasan membaik pulih yang rumit pula memerlukan manusia.

Jawapan kepada soalan sama ada manusia atau robot harus berada di angkasa ialah: "kedua-duanya".Kini wujud pelbagai jenis pekerjaan di angkasa seperti di Bumi. Ada orang yang bekerja untuk agensi kerajaan; ada yang menjalankan perniagaan sendiri. Ada yang menjangkau ke luar sempadan ilmu; ada yang menggunakan teknologi sehingga melampaui hadnya. Walaupun semua sumbangan ini penting, namun bukannya pekerjaan yang merupakan aspek terpenting bagi hujah tentang perlunya penerbangan manusia ke angkasa.

Untuk Hidup
Secara intuitif kita mengetahui bahawa di Bumi benda hidup lebih penting daripada benda bukan hidup, bahawa haiwan lebih penting daripada batu. Perkara ini juga benar bagi seluruh alam semesta. Daripada kesemua struktur alam semesta yang perkasa dan amat menakjubkan itu - galaksi, bintang, planet - bahagian yang paling penting ialah bahagian yang hidup. (Kedua terpenting ialah objek bukan hidup yang menyokong kehidupan, contohnya matahari.)
Pandangan sedemikian tentang kosmos dihuraikan secara puitis oleh ahli matematik dan falsafah Frank Ramsey, seperti yang disebut oleh ahli kosmologi dari Cambridge, Sir Martin Rees dalam Our Final Hour. Pandangan itu diterjemahkan seperti berikut: "Saya tidak langsung berasa kerdil di hadapan kebesaran langit. Sememangnya bintang-bintang itu tersangat besar, namun bintang tidak mampu berfikir atau mempunyai perasaan kasih; dan sifat-sifat ini memberi jauh lebih kesan kepada saya berbanding saiz... Saya melihat dunia mengikut perspektif, dan bukan seperti model yang dilukis mengikut suatu skala. Latar hadapan dipenuhi manusia, manakala bintang-bintang adalah sekecil duit syiling."
 
Matlamat utama penerbangan angkasa oleh manusia ialah untuk "memperluas kehidupan ke sana" (frasa yang digunakan dalam pernyataan visi NASA, diterjemahkan), untuk menubuhkan habitat luar daripada Bumi. Walaupun kehidupan di Bumi adalah pelbagai dan bertahan lama, kehidupan itu terbatas kepada planet ini sahaja dan gagal untuk bergerak lebih jauh.Manusia mampu membawa kehidupan ke bahagian lain di sistem suria, malah ke kawasan melepasinya. Urusan ini dikenali sebagai "penjajahan" atau "pertempatan". Segala usaha angkasawan dan kosmonaut sejak 1961 adalah sekadar permulaan proses berkenaan.Seseorang itu mungkin bersetuju dengan semua perkara yang tersebut di atas, tetapi akan bertanya mengapa harus ia dijadikan keutamaan bagi generasi ini. Mengapakah ianya dilakukan sekarang?

Untuk Terus Hidup
Manusia selamat melalui hidup sepanjang abad ke-20, tetapi terdapat beberapa ketika kehidupan nyaris terancam: Krisis Misil Cuba hampir-hampir mencetuskan peperangan antara kuasa-kuasa besar bersenjata nuklear. Abad ke-21 pula datang dengan cabaran tersendiri. Teknologi senjata nuklear dan biologi sedang tersebar ke sebilangan besar negara dan kumpulan. Kemajuan sains dan teknologi banyak memajukan manusia, namun pada masa yang sama akan juga membawa kepada pembinaan senjata yang lebih membinasakan serta menimbulkan akibat-akibat lain yang tidak dirancang. Tambahan kepada ancaman buatan manusia ini, ancaman bersifat semula jadi  seperti wabak penyakit dan impak daripada angkasa juga akan terus kekal wujud.

Terdapat pepatah yang memberi ingatan bahawa benda berharga perlu disimpan di tempat-tempat berasingan, supaya andainya sesuatu berlaku kepada mana-mana satu tempat simpanan itu, benda yang terletak di tempat lain akan terselamat. Nasihat ini lebih dikenali dalam kalangan pelabur melalui ungkapan "pelbagaikan pelaburan anda" ("diversified your portfolio") dan "sebarkan risiko anda"  ("spread your risk"), yang membawa maksud seseorang itu perlu melabur dalam sebanyak mungkin bidang yang berlainan agar terselamat sekiranya satu bidang menghadapi kerugian.

Prinsip yang sama digunakan kepada gambaran yang lebih besar. Perkara yang paling berharga di alam semesta ialah kehidupan: bukan hanya kerana kehidupan itu penting, tetapi juga kerana yang hidup itu tampak sebagai teramat sedikit. Kehidupan dan manusia pada masa ini terhad kepada Bumi (walaupun kita telah membina habitat di orbit Bumi dan menjelajah sampai ke bulan). Sekiranya kita tersebar di banyak lokasi di seluruh sistem suria, bencana di suatu lokasi tidaklah akan menghancurkan segala-galanya. Jika kita mempunyai teknologi yang membolehkan kita hidup di dalam persekitaran bersifat melampau yang terletak jauh melepasi Bumi, maka kita seharusnya akan dapat menjalani hidup di dalam persekitaran melampau yang terdapat di kawasan bencana serta lain-lain wilayah yang menghadapi kesengsaraan.Ramai yang bersetuju sudah sampai masanya untuk penjajahan. "Matlamat program penerbangan angkasa oleh manusia sepatutnya adalah untuk meningkatkan harapan penerusan kehidupan menerusi penjajahan angkasa" menurut ahli astro fizik dari Princeton, J. Richard Gott dalam Time Travel in Einstein's Universe -  terjemahan. Jika kita berada di sana, di kalangan planet, jika terdapat komuniti manusia di beberapa dunia yang dapat memenuhi keperluan sendiri, spesis kita akan terlindung daripada bencana dan kemusnahan" menurut penulisan saintis angkasa Carl Sagan dari Cornell di dalam Pale Blue Dot - terjemahan. Tiada jaminan bagi penjajahan mahupun penerbangan angkasa oleh manusia. Perkara berkenaan merupakan buah yang terhasil daripada pilihan-pilihan yang dibuat oleh individu-individu dalam jawatan politik, dalam agensi kerajaan, dalam bilik mesyuarat,  dalam pejabat dan di rumah. Pilihan-pilihan tersebut akan mempengaruhi generasi semasa, namun lebih genting lagi, ia akan menentukan kehidupan generasi-generasi yang akan datang."Tema buku ini ialah bahawa manusia kini menghadapi risiko yang lebih besar daripada yang dihadapinya pada mana-mana fasa terawal dalam sejarah. Alam semesta yang luas mempunyai potensi masa depan yang mungkin infinit. Tetapi adakah ruang masa yang sebegitu luas itu akan diisi dengan kehidupan, atau kekal sekosong lautan-lautan awal Bumi? Mungkin terpulang kepada kita, pada abad ini, untuk membuat pilihan." - Ahli Kosmologi dari Cambridge, Sir Martin Rees, Our Final Hour  -  terjemahan


Sumber: www.thespacereview.com

0 comments:

Post a Comment

PELIK TAPI BENAR