ANTARA PRODUK KAMI

Thursday, March 11, 2010

Rai tahun astronomi

Rai tahun astronomi
 


TAHUKAH anda 2009 adalah Tahun Astronomi?

Inisiatif Kesatuan Astronomikal Antarabangsa (IAU) serta Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) meraikan kejayaan manusia meneroka alam cakerawala sejak ribuan tahun lalu, mendorong minat ramai pihak mendekati sains astronomi.

Sejak ahli Fizik, Galileo Galilei menggunakan satelit pertamanya kira-kira 400 tahun lalu, manusia terus terpegun dengan magis sistem cakerawala. Setiap kali penemuan direkodkan seperti kewujudan planet baru mahupun pergerakan bintang-bintang, makin banyak dirasakan ilmu astronomi belum dikuasai akal fikiran manusia.
Malaysia sejak kejayaan misi meneroka angkasa lepas dengan penghantaran angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007, mencapai banyak kemajuan dalam bidang sains angkasa dan lebih penting, minat generasi muda terhadap disiplin ini serta sains astronomi makin meningkat.

Sesuai dengan sambutan Tahun Astronomi Antarabangsa 2009 (IYA2009), Agensi Angkasa Negara (Angkasa) untuk pertama kalinya menganjurkan Karnival IYA2009. Karnival ini antara lain merangkumi pelbagai program kesedaran awam, pendidikan dan penyelidikan yang akan membabitkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kelompok usia.

Antara pengisian program yang menarik perhatian ialah Cabaran Angkasa Kebangsaan 2009 yang dilancarkan akhir bulan lalu di Sekolah Kebangsaan Bangsar di Kuala Lumpur. Apa yang menarik, program ini dikendalikan serentak di seluruh negara dengan menarik penyertaan lebih 12,000 murid Tahun Empat bagi peringkat pusingan kelayakan.

Pada pusingan ini, murid yang dibahagikan mengikut kumpulan dikehendaki menjawab 50 soalan pelbagai pilihan membabitkan topik angkasa lepas dan astronomi seperti bumi, matahari, bulan, planet, meteroid, galaksi, teleskop dan teknologi angkasa lepas. Setiap peserta diberi tempat sejam 15 minit untuk menjawab soalan yang dikemukakan.

Berakhirnya pusingan peringkat kelayakan ini, dua pasukan yang mencatat markah tertinggi dari setiap negeri akan dipilih meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya. Bagaimanapun, pemenang akan hanya diumumkan pada 5 Jun depan melalui laman web www.angkasa.gov.my.

Program Cabaran Angkasa Kebangsaan 2009 yang menerima sumbangan tajaan dari History Channel dan Nestle YOCO pasti menjadi landasan terbaik bagi menarik minat generasi muda terhadap bidang astronomi dan sains angkasa.

Angkasawan negara, Mejar Dr Faiz Khaleed berkata, Cabaran Angkasa Kebangsaan 2009 selain meningkatkan minat pelajar dalam bidang sains, mampu melatih mereka meningkatkan potensi diri serta mencapai status terbaik.

“Program ini mencabar pelajar untuk berusaha dan bersaing bagi menjadi yang terbaik... Jadi dalam apa perkara termasuk cabaran yang dihadapi dalam hidup, mereka perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya,” katanya kepada XY - Ikon Lelaki.

Dr Faiz berkata, sejak Malaysia melancarkan misi meneroka angkasa lepas, kesedaran generasi muda terhadap bidang sains dan teknologi makin meningkat.

“Bagi saya, tumpuan perlu diberi kepada usaha menggalakkan pelajar mencintai bidang sains, bukan lagi takut-takut atau memikirkan bidang ini sukar.

“Apabila generasi muda mula menerima sains, saya percaya mereka akan menggunakan sains dalam setiap aspek kehidupan harian,” katanya yang gigih meneruskan misi negara dalam sains angkasa dan penerokaan angkasa lepas.

FAKTA Bumi

  • Suatu ketika dulu, bumi dipenuhi daratan yang amat luas dengan kawasan berair atau lautan besar. Ahli geologi merujuk daratan ini sebagai Pangaea (perkataan asal Greek bermaksud tanah) dan Panthalassa (dari perkataan Greek bermaksud laut).


  • Antara 180 juta tahun dan 200 juta tahun lalu, Pangaea terbahagi kepada dua iaitu Laurasia (merangkumi Amerika Utara, Eropah dan Asia) serta Gondwanaland (membentuk Afrika, Amerika Selatan, India, Antartika dan Australia).


  • Kira-kira 40,000 tan habuk meteor melanggar bumi setiap tahun.


  • Kira-kira satu per sepuluh permukaan bumi dilitupi ais secara kekal.


  • Red Giant (sejenis bintang yang meletus) memiliki kadar densiti yang lebih rendah berbanding mana-mana vakum di bumi.


  • Anda perlu bergerak 6.95 batu setiap saat untuk mengelak daripada tarikan graviti bumi. Kepantasan ini boleh membawa anda bergerak dari New York ke Philadelphia dalam tempoh 20 saat.


  • Jika anda menggali lubang di belakang rumah, usah bimbang andai akan mengorek hingga ke kerak bumi. Jika anda mahu melakukannya juga, anda perlu mengorek sejauh 6,437 kilometer!


  • Sebahagian tempat di bumi menerima sinar matahari secara terus sepanjang tahun. Bagi tempat yang tidak menerima cahaya matahari secara langsung atau tepat, cuacanya lebih sejuk.

    FAKTA: Alam semesta

  • Semua planet dalam sistem solar dianggarkan memiliki usia sama iaitu 4.54 bilion tahun.

  • Planet Zuhrah diliputi awan tebal yang memantul banyak sinar matahari - jadi ia menjadi planet paling terang dilihat pada waktu malam.

  • Planet Zuhrah memiliki lebih 1,000 gunung berapi atau pusat gunung berapi yang mempunyai ukuran diameter lebih 12 batu.

  • Planet bumi adalah satu-satunya planet dalam sistem solar yang mempunyai cecair pada permukaannya.

  • Planet Musytari adalah planet terbesar dalam sistem solar di mana ia boleh ‘menelan’ hingga 1,300 planet bumi.

  • Planet Musytari mempunyai 63 bulan di mana 23 bulan ditemui pada 2003. Bulan terbesar, Ganymede adalah lebih besar daripada planet Utarid dan Pluto.

  • Planet Marikh dipercayai mempunyai gunung berapi paling besar dalam sistem solar. Kemuncak Olympus Mons adalah tiga kali lebih tinggi dari Gunung Everest.

  • Planet Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptune adalah planet gas dan tidak memiliki permukaan kukuh.

  • Ribut Great Red Spot dalam planet Musytari wujud sejak beratus-ratus tahun lalu - saiznya menyamai tiga planet Bumi.

  • Musim di planet Uranus tamat selepas lebih 20 tahun - ini disebabkan kedudukannya yang senget pada sisinya.

  • Matahari membakar sekurang-kurangnya 600 juta tan metrik hidrogen setiap saat.

  • Misi New Horizon yang dilancarkan Nasa dijangka tiba di planet Pluto pada 2015. Dari sini, kawasan yang belum pernah dimasuki kapal angkasa iaitu Kuiper Belt akan diterokai.

    Kongsi rahsia alam melalui program The Universe di Saluran History 555 Astro

    Light Speed 18 Mei jam 9 malam 19 Mei jam 3 petang/24 Mei jam 10 pagi

    Sex in Space 25 Mei jam 9 malam 26 Mei jam 3 petang/7 Jun jam 10 pagi

    Alien Faces 1 Jun jam 9 malam 2 Jun jam 3 petang/14 Jun jam 10 pagi

    Deadly Comets and Meteors 8 Jun jam 9 malam 9 Jun jam 3 petang/21 Jun jam 10 pagi

    Living In Space 15 Jun jam 9 malam 16 Jun jam 3 petang 28 Jun jam 10 pagi

    Stopping Armageddon 22 Jun jam 9 malam 23 Jun jam 3 petang/5 Julai jam 10 pagi

    Another Earth 29 Jun jam 9 malam 30 Jun jam 3 petang/12 Julai jam 10 pagi

    Strangest Things 6 Julai jam 9 malam 7 Julai jam 3 petang/19 Julai jam 10 pagi

    Cosmic Phenomena 13 Julai jam 9 malam 14 Julai jam 3 petang/26 Julai jam 10 pagi

    Edge of Space 20 Julai jam 9 malam 21 Julai jam 3 petang/2 Ogos jam 10 pagi.

  • 0 comments:

    Post a Comment

    PELIK TAPI BENAR