ANTARA PRODUK KAMI

Thursday, March 11, 2010

Tanya Pakar: Teroka peluang industri kreatif

Tanya Pakar: Teroka peluang industri kreatif
 


Fariz Adzib beri yang terbaik dalam bidang yang sebelum ini asing baginya

DARI bidang sains yang menjadi pengkhususannya ketika di sekolah dulu, beliau beralih kepada bidang seni, yang cukup berbeza dan amat baru baginya. Walaupun pernah gagal dalam subjek seni suatu ketika dulu, ia bukan halangan untuknya menerajui sebuah syarikat menawarkan khidmat rekaan kreatif yang cukup berdaya saing.

Sudah menjadi sikapnya sejak dulu yang suka melakukan sesuatu yang berbeza daripada orang lain. Kebanyakan rakannya dari Maktab Rendah Sains Mara Taiping menyambung pengajian dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan teknologi maklumat namun Fariz Adzib, 28, lebih tertarik untuk mengikuti jurusan Filem Animasi di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya.
“Waktu itu, saya menetapkan tempoh setahun untuk saya menguasai bidang ini. Jika tidak mampu menguasainya, saya akan kembali semula kepada kursus yang berkaitan dengan aliran sains yang saya ambil dulu.

“Tapi, selepas enam bulan mengikuti jurusan ini, saya menyedari bahawa ia tidak begitu sukar jika kita benar-benar minat dengannya lalu saya membuat keputusan untuk meneruskannya.

“Pada tahun ketiga saya di universiti, banyak kerja sampingan membabitkan visual 3D (tiga dimensi) untuk reka bentuk dalaman dan arkitektur mula diterima. Dari situlah lahirnya idea menubuhkan syarikat rekaan, FM Media bersama teman saya, Amril. Syarikat ini ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2003 dan menumpukan kepada menumpukan kepada cabang kreatif termasuklah 3D, video, grafik, identiti korporat dan media baru (laman web dan persembahan interaktif),” katanya.
  FARIZ saling memberi kritikan membina dengan rakan sekerja.
Sentiasa optimis dan mempunyai pemikiran yang betul dalam kerja yang dilakukannya menjadi antara resipi kejayaan anak muda ini yang memegang tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan FM Media.

Di bawah pimpinannya serta kerjasama yang ditunjukkan pasukannya, pelbagai projek besar dari pelanggan yang terdiri daripada syarikat besar, baik sektor kerajaan mahupun swasta sudah pun dikendalikan syarikat yang baru lima tahun bertapak dalam industri kreatif ini. Ikuti resipi kejayaan Fariz Adzib menerusi temubual bersama XY-Ikon Lelaki.

Antara semua perkhidmatan yang ditawarkan, yang mana paling banyak menerima permintaan?

Permintaan adalah berdasarkan keperluan pasaran. Sepanjang lima tahun perjalanan syarikat ini, permintaan berubah-ubah mengikut keadaan semasa. Ada kalanya, projek video mendapat permintaan tinggi. Permintaan ini mungkin berkekalan selama tujuh hingga lapan bulan sebelum beralih kepada interaktif dan grafik. Selain itu, isu semasa dan hal ehwal negara juga memainkan peranan. Contohnya, selepas pilihan raya umum Mac lalu, permintaan dari pelanggan sektor kerajaan agak berkurangan manakala permintaan dari sektor swasta pula meningkat.
Apakah prinsip yang anda pegang dalam melaksanakan tugas?

Pertama, semua kerja yang dihasilkan perlu menepati piawaian reka bentuk dari segi estetika dan melebihi nilai yang ditawarkan kepada pelanggan. Prinsip kedua pula, menepati tarikh akhir tugasan yang ditetapkan. Selain itu, dalam melaksanakan sesuatu kerja, saya akan pastikan ia terbaik dari pandangan pereka sebelum diberikan kepada pelanggan.

Boleh anda jelaskan lebih lanjut mengenai proses kerja yang biasanya berlangsung di FM Media.

Selepas mendapat penjelasan daripada pelanggan mengenai kerja yang diperlukan, biasanya kami akan berbincang di studio untuk mendapatkan pemikiran yang lebih jelas mengenai kerja berkenaan. Ini meliputi ‘industry best practice’, contoh kerja yang berjaya serta kajian terhadap bidang kerja berkenaan. Sebaik meneliti semua ini, pendekatan terbaik akan diputuskan kerja rekaan akan dimulakan di studio.

Pusingan pertama hasil reka bentuk akan dipersembahkan dalam studio dan diperhalusi. Sekiranya projek ini mempunyai masa, beberapa pusingan hasil reka bentuk akan dilakukan sebelum dipersembahkan kepada pelanggan.

Bagaimana anda melihat kepentingan industri kreatif di Malaysia pada masa kini?

Industri kreatif tempatan dilihat berkadar terus dengan kualiti kehidupan rakyat Malaysia. Sekitar tahun 80 an, tiada siapa berbincang mengenai reka bentuk dalaman. Tapi kini, sudah menjadi kebiasaan untuk masyarakat umum menilai dan menghargainya. Situasi yang sama berlaku dalam industri animasi, filem, multimedia dan grafik.

Secara umum, bagaimana dengan tahap permintaan terhadap perkhidmatan kreatif seperti yang FM Media tawarkan sekarang ini?

Alhamdulillah, permintaan adalah konsisten dan pelbagai.

Cabaran yang dihadapi dalam bidang ini?

Tenaga kerja adalah cabaran utama. FM Media bukan saja memerlukan pereka yang berkemampuan menghasilkan kerja yang bagus tapi juga kerja yang memerlukan pemikiran rasional. Kedua-dua aspek; kemahiran bidang seni dan juga di luar bidang seni perlu difahami dan dikuasai untuk bekerja dalam bidang ini kerana ia banyak membantu dalam melahirkan pereka yang serba boleh. Namun tidak ramai pereka berciri seperti ini. Contohnya, bagaimana hendak menghasilkan video yang baik mengenai penghasilan produk perubatan jika pereka langsung tidak memahami konsep perubatan?

Bagaimana pula bentuk persaingan yang dihadapi?

Persaingan adalah sihat untuk pasaran. Menjadi kebiasaan bagi FM Media menyertai ‘pitching’ projek terutamanya untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC). Persaingan ini sedang, telah dan akan mematangkan lagi pasaran secara amnya dan FM Media khususnya.

Dalam menyediakan perkhidmatan kreatif seperti ini, ada masanya tentu timbul pendapat atau idea yang tidak sama antara penyedia perkhidmatan (pereka) dengan pelanggan. Bagaimana anda menangani masalah itu?

Dalam menangani masalah ini, jika kami diarahkan untuk menyediakan sesuatu yang kurang sesuai dengan kehendak projek, kami akan menyuarakan kebimbangan akan hasil akhir itu, Ini adalah berdasarkan pengalaman projek lalu yang mempunyai ciri sama dengan projek ini. Pelanggan biasanya bijak dan mampu mempertimbangkan cadangan yang diutarakan.

Anda seorang Pengarah Urusan yang masih muda. Bagaimana anda berinteraksi dengan staf anda yang kebanyakannya masih muda?

Walaupun hubungan kami seperti rakan, dalam soal kerja saya jujur, tegas dan profesional. Kami bekerja sebagai satu pasukan. Jika ada kelemahan saya akan beritahu dan bila mereka menunjukkan prestasi memberangsangkan, kita akan beri ganjaran kepada mereka. Selain itu, kami sering melakukan aktiviti riadah dan mengembara bersama-sama untuk merapatkan hubungan antara rakan sekerja.

Perancangan masa akan datang serta sasaran FM Media?

FM Media adalah sebuah agensi reka bentuk berkonsep ‘boutique’, maksudnya bersaiz sederhana, muda dan dinamik dan memiliki kekuatan tenaga kerja teknikal dan kreatif seramai 18 orang. Pun begitu, buat masa ini, saya tidak mempunyai perancangan untuk menambah tenaga kerja. Adalah kritikal bagi saya untuk membina satu pasukan yang kuat dan mantap dalam menghasilkan kerja berkualiti tinggi untuk pelanggan. Berbalik kepada prinsip yang saya amalkan; kualiti adalah keutamaan nombor satu kami.

0 comments:

Post a Comment

PELIK TAPI BENAR