ANTARA PRODUK KAMI

Thursday, March 11, 2010

PAC setuju 11 cadangan projek penyelidikan bahagian E&P

PAC setuju 11 cadangan projek penyelidikan bahagian E&P


Penyelidik diminta bina pengetahuan asas sains menerusi kajian

BANGI: Sejumlah 11 cadangan projek penyelidikan baru yang dibentang oleh Bahagian Kejuruteraan dan Pemprosesan (E&P), MPOB ketika mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) ke-28 baru-baru ini telah dipersetujui untuk dilaksanakan segera.

Ketua Pengarah MPOB, Dato’ Dr Mohd Basri Wahid, berkata projek penyelidikan untuk menghasilkan teknologi dan produk baru itu akan dilaksanakan dan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
Mesyuarat PAC yang diadakan secara tradisi pada setiap tahun itu mempunyai ahli yang terdiri daripada saintis dan pakar pelbagai bidang akan menasihati MPOB merancang strategi dan hala tuju penyelidikan bagi pembangunan industri sawit negara.

Dato' Dr Mohd Basri berkata, antara projek yang dipersetujui adalah perawatan bahan bio jisim menggunakan proses pencernaan kimia dan mekanikal bersuhu tinggi, penghasilan arang gred mesra alam dari bio jisim dan penapaian gula yang diperoleh daripada bio jisim untuk penghasilan bioethanol.

Selain itu projek bagi penghasilan karotin, vitamin E, squalene dan sterol pada peringkat loji rintis daripada metil ester dan pengkajian mengenai komponen bukan minyak daripada buah tandan segar di kilang kelapa sawit turut diberi keutamaan.
Beliau berkata, ahli PAC menasihati penyelidik MPOB supaya memberi tumpuan untuk membina pengetahuan asas sains melalui penyelidikan supaya suatu komuniti yang kaya dengan ilmu pengetahuan sains mengenai minyak sawit dapat diwujudkan, sekali gus mempertingkatkan mutu penyelidikan komoditi itu.

Dari segi pembangunan sumber manusia, ahli PAC juga menasihati penyelidik supaya meningkatkan interaksi, membuat lawatan sambil belajar ke institusi pengajian terkenal, membentuk kumpulan kerja bermutu, menjalankan projek usaha sama dengan universiti, membina kemahiran dan kepemimpinan.

Dato' Dr Mohd Basri berkata, strategi ‘sisa kosong’ di kilang sawit akan diberikan tumpuan utama melalui peningkatan penyelidikan dengan penggunaan sisa buangan seperti tandan kosong, batang dan pelepah sawit sebagai bahan mentah untuk menghasilkan produk yang berupaya memberikan nilai tambah.

“Penyelidikan bagi pemerangkapan biogas dari POME yang berupaya menjana sumber tenaga boleh diperbaharui dan kemungkinan penggunaan lain akan ditingkatkan. Pengumpulan biogas dari POME juga berupaya menghasilkan karbon bernilai ‘CER’ yang boleh dijual kepada negara maju,” katanya.
Pada masa sama, penyelidikan menghasilkan teknologi baru kilang memproses buah bagi meningkatkan kualiti minyak sawit akan diberi keutamaan. Projek teknologi gelombang ‘micro’ dan pemulihan minyak sawit secara berenzim dari buah sawit perlu dikaji semula untuk memperbaiki proses pengilangan buah sawit.

“Teknologi baru bagi memanjangkan hayat penyimpanan buah sawit yang disterilkan sebelum diproses akan juga terus dikaji untuk meningkatkan dan memastikan teknologi dan efisensi pengilangan bagi menghasilkan minyak sawit berkualiti,” katanya.

Dato' Dr Mohd Basri juga berkata, ahli PAC menyarankan penyelidikan bagi menghasilkan biofuel generasi kedua perlu ditingkatkan memandangkan peningkatan harga minyak sawit mentah pada masa ini. - lohsk@mpob.gov.my

0 comments:

Post a Comment

PELIK TAPI BENAR