ANTARA PRODUK KAMI

Thursday, March 11, 2010

'Doktor' cacing

'Doktor' cacing
 

Nematode atau cacing halus perosak 'teman' Shamsudin sejak 26 tahun lalu.
Diiktiraf pakar rujuk utama dalam kajian mengenai nematode di universiti

PEMBABITAN Shamsudin Bojang terhadap kajian mengenai cacing bulat, halus dan cacing perosak atau nematode bermula sebaik dilantik sebagai penolong pegawai sains di Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1983.

Sejak itu, sudah 26 tahun beliau bergelumang dengan cacing halus dan minat mengenai terhadap haiwan halus itu sentiasa berkembang, malah kini beliau menjadi satu-satunya pakar rujuk kajian mengenai nematode walaupun bukannya ahli akademik yang bergelar Profesor atau ijazah kedoktoran (Phd) dalam bidang berkenaan, di universiti itu.
Bermula hanya sebagai pembantu seorang profesor dalam kajian mengenai cacing berkenaan, Shamsuddin yang kini mempunyai Sarjana Komunikasi sering menjadi tempat rujukan mengenai nematode oleh pelajar dalam dan luar negara dari pelbagai peringkat pengajian .

Selain bertugas di Makmal Patologi di Fakulti Pertanian, universiti berkenaan, Shamsuddin, 45, sering dipanggil memberi ceramah dan membuat pembentangan kertas kerja mengenai nematode pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sepanjang kerjaya, katanya, beliau pernah diberikan kursus tiga bulan di Imperial College of Science, Technology and Medicine, United Kingdom, berkaitan nematode dan mendapat pengiktirafan daripada Universiti di Belanda hasil pembentangan kertas kerja mengenai cacing halus berkenaan pada 1993.

Selain membantu kerja profesor dan pegawai sains di universiti, Shamsudin juga mampu melakukan pembedahan terhadap nematode serta mahir mengesan penyakit tumbuhan akibat serangan nematode, malah sering dipanggil agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (Mardi), Jabatan Pertanian serta syarikat swasta.

“Syarikat swasta yang mengendalikan padang golf adalah antara yang sering memanggil saya untuk mengesan kerosakan rumput akibat serangan nemotode,” katanya yang sangat berbangga dengan kejayaan hasil didikan pakar nematode, Prof Dr Abdul Rahman Razak yang sudah lapan tahun bersara daripada UPM.

Kata Shamsudin, sejak Prof Abdul Rahman bersara, beliau menjadi rujukan kakitangan dan pelajar dalam kajian mengenai nematode dan kini beliau berhasrat mahu berkongsi pengalaman dan kepakarannya itu dengan pelajar baru.

“Saya rasa perlu ada pelapis dalam kajian mengenai nematode dan berharap ada yang tampil menimba ilmu mengenainya,” katanya yang hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memulakan kerjayanya di UPM.
Pemegang Bacelor Ekonomi ini, berkata beliau berhasrat melanjutkan dalam pengajian sains, namun peluangnya terhad menyebabkannya mengambil jurusan ekonomi dan komunikasi.

“Saya tetap bersyukur walaupun tidak mempunyai ijazah atau sarjana dalam bidang sains yang saya minat sejak kecil, saya masih tetap terbabit dalam pengajian sains kerana bertugas sebagai Penolong Pegawai Sains di Fakulti Pertanian ini

“Malah, lebih membanggakan hasil kerja saya diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya pernah membuat pembentangan mengenai nematode di Belgium dan beberapa negara di Asia.

Profil

Shamsudin Bojang

Umur: 45 tahun

Asal: Sungai Rambai, Melaka

Status: Berkahwin, 2 anak (23 tahun dan 17 tahun)

Isteri: Guru

Pendidikan: Bacelor Ekonomi, UPM Sarjana Komunikasi, UPM

0 comments:

Post a Comment

PELIK TAPI BENAR