ANTARA PRODUK KAMI

Thursday, March 11, 2010

Venezuela 'kilang' ratu cantik plastik

Venezuela 'kilang' ratu cantik plastik



(Gambar 1) Miss Universe 2008 dari Venezuela, Dayana Mendoza mengesat air matanya selepas dinobatkan dengan gelaran itu, awal tahun ini. (Gambar 2) Mariangel Ruiz tersenyum selepas dipilih Ratu Venezuela 2002. (Gambar 3) Alicia Machado, 19, yang dinobatkan sebagai Miss Universe 1996.
Pakar akui tidak salah manfaatkan pembedahan kosmetik

VENEZUELA bukan setakat dikenali antara negara pengeluar utama global, tetapi turut popular kerana menghasilkan produk yang tidak kurang menarik dan menawan - deretan wanita jelita bergelar ratu cantik dunia sama ada sebagai Miss Universe dan Miss World.

Malah, tahukah anda negara Amerika Latin itu menjadi negara paling banyak menghasilkan ratu cantik berbanding negara lain. Terbaru, Ratu Universe 2008 diraih anak jati negara itu, Dayana Mendoza.
Itu fakta menarik, tetapi hakikat yang kurang menariknya adalah kebanyakan ratu cantik ini bukannya asli - wajah dan bentuk tubuh mereka sudah menjalani proses pembedahan bagi memastikan diri bergelar Ratu Universe atau Ratu Dunia.

Tugas menghasilkan barisan jelitawan itu terletak di bahu Pertubuhan Ratu Venezuela yang dimiliki stesen televisyen, Venevision.

Syarikat ini tidak hanya melantik deretan pakar kecantikan dan dandanan, tetapi turut mengambil khidmat seorang pakar pembedahan plastik dan pakar pergigian sebagai petugas sepenuh masanya.
Beberapa peserta Miss International melihat aksi Ratu Venezuela 2008, Dayana Colmenares, meminum teh Jepun di Tokyo, awal bulan ini.
Setiap tahun, seramai 300 gadis berpusu-pusu ke sebuah vila ‘Quinta Miss Venezuela’ untuk menjalani transformasi diri - daripada hodoh menjadi jelita, gempal menjadi gemuk dan kasar menjadi lemah lembut. Ringkasnya, gadis biasa menjadi ratu jelita.

Tulang belakang industri kecantikan Venezuela adalah Osmel Sousa, 60, yang menguruskan aspek francais Miss Venezuela sejak 1981. Beliau yang menentukan segala-galanya daripada aspek latihan berjalan, tips mekap sehinggalah jenis pembedahan plastik bagi wajah dan tubuh yang sesuai bagi gadis dan wanita Venezuela yang mahu bergelar ratu.

Hasil kerja kuatnya, Venezuela menyaksikan 15 wanitanya bergelar ratu cantik dunia - masing-masing lima Miss Universe, lima Miss World dan lima kali Miss International.

Dan Sousa, seperti majoriti rakyat negara itu, menyokong penuh pembedahan plastik sebagai cara mencantikkan wajah dan bentuk badan wanita.
Ratu Venezuela, Emmarys Pinto (tengah) tersenyum selepas dinamakan pemenang Miss Intercontinental 2005 di China.
“Ini bukan pertandingan semula jadi,” katanya dipetik media, baru-baru ini.

“Ini pertandingan ratu cantik dan kewujudan sains serta teknologi membantu usaha kecantikan. Tiada yang salah mengenai gabungan semula jadi dan sains,” katanya.

Malah, Sousa dengan bangganya mengakui Mendoza adalah antara anak didiknya biarpun Miss Universe 2008 itu beriya-iya menafikan beliau pernah menjalani sebarang pembedahan kosmetik.

Presiden Pertubuhan Miss Universe, Paula Shugart mengakui soal pihaknya tidak menggalakkan atau melarang perbuatan peserta menjalani pembedahan plastik.

“Ratu cantik abad ke-21 perlu menggambarkan pencapaian dan senario zaman sekarang. Jadi, kita tidak mempunyai sebarang masalah dengan peserta yang memilih cara itu.”

Salah seorang wanita Venezuela yang mahu bergelar ratu cantik adalah Eva Ekvall, 25, yang mengakui beliau pada mulanya berbadan gempal sewaktu bertemu Sousa kira-kira tujuh tahun lalu. Namun, pembedahan plastik adalah perkara terakhir yang terlintas di fikirannya.

Pertemuannya dengan Sousa, mengubah diri mahu pun pendiriannya. Dalam masa tiga bulan, berat badannya berkurangan sebanyak 10 kilogram, hidungnya lebih mancung, payu daranya dibesarkan dan Ekvall terus bergelar Miss Venezuela, tahun ini.

“Sebaik saja kehilangan berat badan, payu dara saya mengecil dan hidung saya tidak selaras dengan wajah. Soussa yang memberi keyakinan untuk saya melalui pembedahan pembesaran payu dara dan mencantikkan hidung.”

Namun, tidak semua pihak yang bersetuju dengan tindakan Venezuela itu dan ada yang menganggapnya sebagai perbuatan tidak beretika.

Pengarah Miss Universe Jepun, Ines Ligron, dengan sinisnya mengakui kehebatan Venezuela itu.

“Inilah satu-satunya negara yang mampu menjadi kilang pengeluaran ratu cantik yang tidak mungkin dilakukan negara lain. Semua wanita yang menjadi peserta pertandingan sememangnya dibentuk supaya cantik selain menjalani latihan yang ketat.”

Pendapatnya turut disokong Pengarah Pusat Bioetika Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat, Arthur Caplan.

“Tiada pakar yang boleh berasa bangga dengan tindakan memberikan implan payu dara kepada gadis berusia 17 atau 18 tahun, atas alasan kecantikan, sebagai perbuatan beretika. Amat menyedihkan bagaimana pertandingan ratu cantik itu sudah bertukar kepada ratu cantik plastik.”

Malah, kata Caplan, apa yang dikesali, pertandingan ratu cantik itu bukan lagi soal kecantikan asli dan semula jadi, tetapi sejauh mana seseorang itu sanggup mempertaruhkan dirinya untuk menjalani pembedahan bagi meraih status sebagai ratu cantik.

Memang pelik memikirkan sejauh mana seseorang itu sanggup bertindak demi seraut wajah cantik dan tubuh menawan. Tetapi di Venezuela, perkara itu bukan lagi isu sebaliknya kemestian berikutan kerakusan industri ratu cantiknya yang semakin mendapat tumpuan ramai.

Atas alasan itu, tidak hairanlah jika Venezuela selayaknya digelar negara ratu cantik plastik. Cuma ironinya, betapa rakusnya dunia mengiktiraf cantik palsu seperti ini.

0 comments:

Post a Comment

PELIK TAPI BENAR