ANTARA PRODUK KAMI

Thursday, March 11, 2010

Saintis khasiat herba

Saintis khasiat herba



Dr Rasadah bangga hasil gigihnya mendapat pengiktirafan pakar rujuk tumbuhan ubatan tempatan.
Rasadah diiktiraf pakar rujuk tumbuhan ubatan tempatan

NAMA Dr Rasadah Mat Ali mungkin asing bagi kita, tetapi hasil usaha gigih dan jasanya terkandung dalam sebahagian besar produk berasaskan herba tempatan digunakan ramai rakyat negara ini.

Produk pelbagai jenama dalam bentuk minuman, krim kecantikan dan kapsul dengan manfaat seperti antiradang dan antibakteria itu, asalnya hasil kajian Bahagian Tumbuhan Ubatan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang diterajui Dr Rasadah selaku Pengarah Kanan serta barisan penyelidiknya.
Lebih membanggakan, anak kelahiran Kampung Sempering, Perlis, yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang kajian herba, turut diiktiraf sebagai pakar herba tempatan dan di rantau ini.

Antara projek disertainya termasuk beberapa projek penyelidikan di bahagian Tumbuhan Ubatan ialah penggunaan kaedah piawaian dalam pembangunan produk nutraseutikal yang bermutu dan selamat berasaskan tumbuhan ubatan tempatan serta pembangunan produk pelangsing berasaskan tumbuhan ubatan tempatan.

Menariknya, kesemua produk ini sudah pun dikomersilkan kepada beberapa industri herba di Malaysia. Tidak hairanlah, selain menyelia lebih 70 kakitangan, ibu beranak empat ini juga mesti membentang kertas kerja, memeriksa kertas tesis pelajar, menghadiri mesyuarat, selain kerap menerima kehadiran pengusaha industri herba yang mahu mendapatkan khidmat nasihatnya.
Namun pengiktirafan dan anugerah yang diterimanya, tidak pernah menjadikan Dr Rasadah puas, sebaliknya beliau masih tetap sibuk meneroka potensi baru tumbuhan herba yang ada kerana minat yang terlalu mendalam terhadap usahanya itu.

“Bidang kajian ini sudah menjadi sebati dan sebahagian hidup saya. Ia bukan sekadar karier tetapi pada masa sama, menjadikan saya lebih menghargai anugerah alam ciptaan Allah.

“Ramai yang mungkin melihat tumbuhan sebagai pokok biasa, tetapi sebaik diletakkan di bawah mikroskop dan diasingkan, kita akan kagum dengan komponen kimianya yang pelbagai bentuk dan warna. Lebih istimewa, ia mempunyai pelbagai khasiat yang boleh diterokai dan dikomersilkan bagi manfaat ramai,” katanya di pejabatnya yang terletak di tengah-tengah kawasan redup dan mendamaikan di Ibu pejabat FRIM Kepong, baru-baru ini.

Kariernya sebagai saintis, berkait rapat dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Botani, Ijazah Sarjana bidang Fitokimia dari Universiti Malaya, dan seterusnya Doktor Falsafah (Fitokimia) di King’s College, University of London pada 1997.
Selain kesungguhannya, Dr Rasadah turut berterima kasih kerana mendapat sokongan FRIM sejak menjejakkan kaki di agensi itu pada 1988 hinggalah ke hari ini.

Namun, lingkaran hidupnya menepati pepatah kejayaan tidak datang bergolek. Malah ketika rancak menceritakan minat dan pengalamannya meneroka kehebatan herba tempatan, Dr Rasadah secara tiba-tiba menjadi sebak apabila diminta mengimbas jejak kejayaannya.

“Boleh dikatakan, saya terpaksa bergelut dengan keadaan susah ketika kecil. Saya anak petani. Ayah dan ibu membanting tulang di bawah panas terik di sawah bagi menampung kehidupan kami enam beradik.

“Saya sendiri tidak tahan kerana biarpun menjadi anak bongsu dan masih kecil, tetapi terpaksa turun ke sawah membantu ayah dan emak. Tetapi ayah dan ibu saya amat penyabar orangnya. Saya begitu kasihan dengan mereka dan bertekad tidak mahu hidup sebegini. Ketika itu saya sedar, cara terbaik ialah dengan memajukan diri di bidang pendidikan,” katanya.

Beliau yang mengamalkan formula pembelajaran dengan mentelaah subjek sebelum diajar guru di sekolah, juga berbangga kerana biarpun ayah dan ibu, Allahyarham Mat Ali Yunus dan Timah Ahmad buta huruf, tetapi mereka menerapkan semangat cintakan pelajaran kepada anak-anak.

“Usaha mereka tidak sia-sia kerana kami adik beradik berjaya dalam bidang masing-masing biarpun abang dan kakak dihantar ke sekolah Arab dan saya dijadikan eksperimen oleh ayah, dihantar ke sekolah aliran Inggeris,” katanya.

Beliau mengakui sedikit terkilan kerana kejayaannya hari ini tidak dapat disaksikan ayah dan ibu.

“Allahyaham bapa saya meninggal akibat barah paru-paru, seminggu selepas saya menjejakkan kaki ke Universiti Malaya. Ibu saya pula meninggal ketika saya masih menjalani penyelidikan PhD di King’s College, University of London pada 1996. Bagaimanapun, saya bahagia kerana sekurang-kurangnya ibu dapat merasa gaji saya selepas penat membesarkan diri ini,”

katanya.

Kini Dr Rasadah boleh tersenyum bangga kerana hasil usahanya, FRIM menjadi rujukan utama pengusaha herba kecil dan sederhana, pengkaji dan orang ramai yang mahu menyelami khasiat tumbuhan herba ini.

“Selain memastikan tumbuhan yang juga khazanah negara bernilai seperti tongkat ali, mas cotek dan misai kucing setanding ubat tradisional China dan India di persada antarabangsa, saya juga menyimpan hasrat memastikan FRIM mampu menjadi pusat sehenti bagi industri herba di negara ini,” katanya.

PROFIL: Dr Rasadah Mat Ali
  • Pendidikan:
    • Sekolah Kebangsaan Santan, Perlis; Sekolah Menengah Inggeris Derma, Kangar dan Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya.
    • Ijazah Sarjana Muda Sains Botani(Universiti Malaya); Ijazah Sarjana bidang Phytochemistry (Universiti Malaya) dan Doktor Falsafah (PHD) (Phytochemistry) dari King’s College, University of London.

  • Kerjaya : Pengarah Kanan Bahagian Tumbuhan Ubatan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
  • Suami : Mohd Yazit Salim
  • Anak-anak :
    • Mohd Ashraf, 19;
    • Mohd Akmal, 17;
    • Mariam Afiqah, 15;
    • Mohd Aiman, 10 tahun.

  • Anugerah
    • Penerbitan Terbaik (Kategori Teknikal) 1999, Anugerah Penerbitan (Kategori Buku Panduan), 2005
    • Anugerah Khidmat cemerlang 2000, Pekerja Terbaik Tahunan FRIM Kumpulan Pengurusan & Profesional 2006, Anugerah Penerima Anjakan gaji (2006), Anugerah Ahli Mahkota Perlis (2007)

  • Inovasi
    • Anugerah Malaysian Technology Exhibition (MTE),2006 dan 2009
    • Anugerah International Invention, innovation, Industrial design & Technology Exhibition (ITEX 2006 dan 2008)

0 comments:

Post a Comment

PELIK TAPI BENAR