ANTARA PRODUK KAMI

Thursday, March 11, 2010

Ilmuan Islam pernah dikagumi dunia Barat

Ilmuan Islam pernah dikagumi dunia Barat



Pelajar Sekolah Menengah Tasek Permai, Ampang tekun mendengar ceramah Dr Sheikh Muszaphar.
Sains angkasa lepas bukan perkara baru kepada dunia Islam kerana astronomi pernah berada dalam kegemilangan ketika pemerintahan Islam

APA khabar pembaca Berita Minggu. Saya harap pembaca gigih menjalani ibadat puasa yang kini semakin menghampiri penghujung. Saya masih berada di Amerika Syarikat kerana dijemput Syurah Islamic Council of California untuk berkongsi pengalaman sebagai angkasawan.

Sudah tentu jemputan dari sebuah pertubuhan Islam di Amerika Syarikat adalah suatu penghormatan yang tinggi kepada angkasawan Islam dari sebuah negara membangun.
Selain itu, saya juga menghadiri persidangan Association of Space Explorers yang menemukan angkasawan seluruh dunia. Pada persidangan ini, saya turut membentangkan kertas kerja `Malaysian and Islam in Space’.

Berada di sebuah negara maju mengingatkan saya mengenai kepentingan kita menguasai ilmu sains dan teknologi yang menjadikan Amerika Syarikat dan Russia, sebagai negara peneraju dalam bidang angkasa lepas.

Negara lain yang turut maju dalam bidang ini ialah negara Eropah yang mempunyai agensi angkasa lepas, ESA (Agensi Angkasa Lepas Eropah). Jepun yang memang maju dalam bidang sains dan teknologi juga mempunyai agensi yang sama, iaitu JAXA.
Mutakhir, China semakin laju mengejar negara lain apabila berjaya menghantar roket dan angkasawan ke angkasa lepas.

Malangnya, negara Islam jauh ketinggalan walaupun kita tahu bahawa sesetengah negara Islam mempunyai kekuatan ekonomi.

Mengapa tidak kekayaan itu dilaburkan untuk pembangunan sains dan teknologi menjurus kepada bidang angkasa lepas.

Saya percaya tumpuan kepada bidang angkasa lepas akan memajukan negara secara keseluruhan kerana untuk mencapai kejayaan, kita perlu memajukan pendidikan sains dan teknologi. Ini yang dilakukan di negara maju.
Sains angkasa lepas bukan perkara baru kepada dunia Islam kerana astronomi pernah berada dalam kegemilangan ketika pemerintahan Islam. Apabila saya membaca buku astronomi, saya mendapati bahawa antara kurun ke-9 hingga 11, umat Islam mencapai banyak kemajuan dalam bidang peralatan matematik astronomi dan cerapan langit.

Zaman kegemilangan astronomi Islam bermula ketika pemerintahan Bani Abbasiyah, Khalifah al-Rashid yang menggalakkan penyelidikan saintifik.

Beliau yang diganti anaknya, Khalifah al-Maamun antara tahun 813 dan 833, yang turut aktif memajukan bidang astronomi dengan mengasaskan perpustakaan terbesar ketika itu dan membina balai cerap tetap pertama di dunia.

Sejarah menunjukkan ramai ilmuan Islam terkemuka dilahirkan dan ilmu mereka menjadi rujukan hingga sekarang. Antara yang terkemuka ialah intelektual berbangsa Parsi pada kurun ke-9, Al-Khawarizmi yang menulis sebuah buku mengenai algebra, iaitu `Hisab al-jabr w'al-muqabala’.

Perlu dinyatakan bahawa beliau yang memperkenalkan penggunaan nombor yang kini digunakan dalam dunia moden.

Sumbangan utamanya terhadap astronomi ialah menulis buku yang menerangkan jadual kedudukan matahari, bulan dan planet. Beliau juga mengkaji pelbagai aspek berkaitan angkasa lepas seperti gerhana dan fasa bulan.

Pada penghujung kurun ke-9, intelektual Arab, Al-Battani, menempa nama sebagai pakar astronomi terkenal. Dalam Kitab al-Zij, beliau memperkenalkan buat pertama kali trigonometri dalam penyelidikan langit.

Penemuan itu lebih hebat berbanding kaedah geometri Ptolemy. Bukunya diterjemahkan ke bahasa Latin pada kurun ke-12 dan mempengaruhi ahli astronomi Eropah antara kurun ke-16 hingga ke-17.

Bagaimanapun kegemilangan itu sudah lama berakhir, tetapi tidak mustahil untuk umat Islam kembali bangkit. Ramai pensyarah di universiti terkemuka Amerika Syarikat dan Britain adalah orang Islam. Ini membuktikan dunia Islam tidak pernah kurang intelektual bertaraf dunia.

Syukur kerana di Malaysia, sains dan teknologi diberi penekanan, tetapi masih banyak ruang yang boleh dilakukan untuk meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi di sekolah. Galakan harus diberikan dan fobia bahawa subjek sains adalah sukar dipelajari perlu dikikis.

Mungkin di peringkat tadika lagi, subjek ini boleh diperkenalkan. Bagaimana? Dalam bentuk permainan supaya mereka mempunyai minda sains dan teknologi sejak peringkat awal lagi.

Salam hormat

Dr Sheikh Muszaphar

0 comments:

Post a Comment

PELIK TAPI BENAR