ANTARA PRODUK KAMI

Thursday, March 11, 2010

Fakta sains menyebelahi minyak sawit

Fakta sains menyebelahi minyak sawit
 
ANTARA produk pengguna dibuat daripada bahan berasaskan minyak sawit.
Campuran antara minyak sawit dan soya atau kanola mampu meningkatkan nisbah kolestrol

DOMINASI minyak sawit dalam penerokaan pasaran minyak sayuran dan lelemak dunia bermula sejak tiga dekad lalu berpunca daripada popularitinya sebagai bahan mentah utama di dalam sektor makanan dan oleokimia.

Perkembangan ini secara tidak langsung dilihat sebagai ancaman kepada pengeluar minyak sayuran saingan yang lain seperti minyak soya dan biji sesawi.
Akibatnya, kempen antiminyak sawit yang bertujuan untuk menyekat import minyak sawit telah dilancarkan seperti yang berlaku di Amerika Syarikat pada 1980-an.

Isu kesihatan seperti tuduhan minyak sawit mengandungi asid lemak tepu yang tinggi lalu meningkatkan kandungan kolesterol di dalam darah telah digunakan sebagai alasan mewujudkan halangan perdagangan terhadap minyak sawit.

Tuduhan sedemikian ini adalah tidak berasas sama sekali. Sebaliknya, penyelidikan yang dilakukan menunjukkan bahawa diet yang berasaskan minyak sawit tidak memberi apa-apa kesan (neutral) atau menurunkan kandungan kolesterol berbanding diet yang berasaskan minyak kelapa atau lelemak seperti yang diambil di negara Barat.
Beberapa kajian lain menunjukkan keputusan yang serupa. Perbandingan antara minyak olein sawit dengan minyak zaitun dan minyak kanola menunjukkan bahawa ketiga-tiga minyak ini mempunyai kesan yang serupa di dalam menurunkan kandungan kolesterol.

Malah, kajian terhadap minyak campuran sayur antara minyak sawit dan soya atau kanola membuktikan bahawa ia mampu meningkatkan nisbah HDL/LDL.

Penemuan ini dipatenkan di Amerika Syarikat dan produk yang dihasilkan di bawah paten ini telah dibenarkan oleh Perbadanan Makanan & Dadah (FDA) Amerika untuk memaparkan label,

Minyak campuran yang dipatenkan untuk membantu meningkatkan nisbah kolesterol anda.
Dengan peningkatan kesedaran tentang kesan keburukan asid lemak trans (TFA), beberapa kajian lain yang membandingkan minyak sawit dan asid lemak trans dijalankan.

Hasil kajian ini menunjukkan asid lemak trans mempunyai dua kesan negatif yang berbeza iaitu meningkatkan kandungan LDL (kolesterol ’tidak baik’) dan menurunkan kandungan HDL (kolesterol ’baik’) manakala minyak sawit meningkatkan kandungan HDL dan menurunkan atau tiada kesan langsung terhadap kandungan LDL.

Hasil kajian ini mendorong para saintis merumuskan minyak sawit sebagai satu alternatif yang baik kepada TFA terutama apabila produk lelemak diperlukan.

Hasil daripada penemuan saintifik ini, kempen yang memburukkan minyak sawit gagal untuk menjejaskan permintaan terhadap minyak sawit kerana sains menyebelahi minyak sawit.

Satu kelebihan mengenai kajian sains ini ialah hasil kajiannya boleh diulangi dengan melakukan kajian yang sama berulang kali tanpa sempadan masa dan lokasi.

Contohnya, satu kajian yang dilakukan di Amerika boleh diulangi di makmal di Eropah tetapi tetap menghasilkan keputusan kajian yang sama.

Dalam erti kata lain, hasil kajian sains adalah benar dan tidak boleh diubah.

Artikel ini disunting dan diterjemahkan dari artikel asal yang bertajuk, The Science is on the side of Palm Oil. Sila layari www.ceopalmoil.com untuk maklumat lanjut berkenaan artikel ini.


 

0 comments:

Post a Comment

PELIK TAPI BENAR